Berita Harian (26 Aug 2010) - Tak kenal, tak cinta
Posted by chermaine on Thursday Aug 26, 2010 Under Press
Tak kenal, tak cinta
Oleh Rozdan Mazalan
2010/08/26
PANAS, rimas dan tidak selesa adalah alasan biasa bagi mereka yang pertama kali menggayakan penampilan gaya hidup islam. Bertudung bukan saja menutup aurat bagi umat Islam tetapi menghalang kepala daripada habuk.
Hari ini, bukan saja penganut Islam saja menggayakan tudung atau selendang, tetapi mereka yang bukan beragama Islam pun mula menyukainya.
Dan, sekali pandang, wajah gadis Tionghua yang mengenakan tudung atau selendang apabila membintangi drama Tudung Ekspres, Chermaine Poo memang seperti gadis Melayu sebenar.
Chermaine sememangnya kelihatan manis sebaik menoleh ke arah penulis ketika diminta untuk ditemuramah. Dengan tudung yang menutupi separuh kepalanya, dia juga mengetahui adat kesopanan turun temurun gadis Melayu sejati yang menjaga tingkah laku dan keperibadian apabila berpenampilan seperti itu.
Semuanya bermula selepas mengikuti percutian keluarga ke Dubai sempena cuti Tahun Baru Cina tahun lalu. Walaupun bertudung pada majlis tertentu saja, namun keinginan itu tergerak untuk mencuba selepas ada yang menyatakan bertudung ini merimaskan.
Tergerak hati saya untuk mengetahui lebih mendalam mengenai agama Islam apabila saya bersama keluarga melawat sebuah masjid di Dubai. Masa itu semua pelancong yang bukan beragama Islam memang diwajibkan memakai jubah dan menutup kepala dengan tudung atau selendang sebelum masuk masjid.
Pada mulanya ramai yang beranggapan pakai tudung ini merimaskan, panas jika tidak biasa, tetapi pertama kali saya pakai, tidaklah begitu merimaskan. Selepas pulang dari Dubai, saya ditawarkan pula berlakon untuk drama Tudung Ekspres yang memerlukan saya memakai tudung.
Saya terima tawaran ini dengan hati terbuka kerana dua sebab, iaitu kerana karier saya sebagai pelakon dan gerak hati yang ingin mencuba, katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa sempena tayangan eksklusif drama bersiri Tudung Ekspres di ibu negara.
Dalam drama itu, Chermaine memegang watak Mei iaitu gadis Cina mualaf yang ingin menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya turut membawa karektor itu dalam keadaan dirinya yang sebenar.
Walaupun saya hanya memegang watak sebagai mualaf dari keturunan keluarga Cina dan keadaan sebenarnya saya tidak, tetapi sepanjang Ramadan ini saya merasa terpanggil untuk sama-sama umat Islam berpuasa.
Ini adalah tahun kedua saya berpuasa kerana rasa hormat saya pada rakan-rakan yang beragama Islam. Walaupun saya sebenarnya orang yang kuat makan dan cepat lapar, tetapi saya cuba kuatkan semangat untuk tahan sampai petang, katanya.
Dikelilingi rakan-rakan beragama Islam membuatkan Chermaine melihat sendiri agama ini bukanlah seperti yang dilabel media barat sebagai pengganas. Baginya, ramai yang tidak mengerti, akan salah faham mengenai Islam dan hanya menilai menerusi sudut sisi tanpa melihat aspek yang lain.
“Golongan lain membuatkan Islam nampak jahat tapi sebenarnya bukan begitu. Saya banyak bergaul dengan orang Islam dan mempelajarinya. Apa yang saya lihat, agama tidak boleh diwakili oleh individu tetapi individu menyumbang untuk agamanya.
“Kami pernah berbincang mengenai agama kerana saya ingin tahu setiap agama yang ada di dunia. Dalam drama Tudung Ekspres saya belajar pelbagai perkataan baru seperti Alhamdulillah, memberi salam dan belajar membaca al-Quran dan saya lebih memahami Islam berbanding sebelumnya,” katanya.
Siri Tudung Ekspress yang akan memasuki episod kelapan ini akan menceritakan pengalaman manis empat gadis lakonan Lisa Surihani, Julia Ziegler, Linda Hashim dan Chermaine berpuasa.
Pengurus Saluran Prima, Nizam Sani berkata, episod istimewa ini akan memaparkan detik menarik dan berbeza daripada episod sebelum ini.
Dua episod istimewa ini sengaja ditambah untuk menyesuaikan penceritaan sempena Ramadan dan memberi semangat semasa menantikan Syawal nanti.
Siri ini juga mengajak penonton menyelami pelbagai isu dan emosi empat gadis bertudung ini dalam mengejar kebahagiaan dalam kehidupan sebenar di samping mengetengahkan isu semasa yang berkait rapat dengan imej dan perwatakan mereka, katanya.

